Rabaiah Yunus, 58, berkata, dia bangun kira-kira pukul 3 pagi untuk menyediakan bekalan makanan untuk anak dan menantunya yang mahu pulang ke rumah mereka di Manjung.

"Pada awalnya kami dengar bunyi bising dari rumah mereka dan kami ingatkan ada pencuri mahu pecah masuk ke rumah itu.

"Selepas melihat melalui tingkap rumah, kami terkejut apabila api sedang marak membakar ruang tamu dan bahagian lain rumah mereka," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam di sini sebentar tadi.

Tambah Rabaiah, dia ketika itu mendengar Siti Rafini Mohd. Rafiee, 27, memanggil-manggil suaminya, Mohd. Sharidan Abdul Aziz, 29, yang sedang nyenyak tidur sebelum menjerit meminta tolong.

"Masih terngiang-ngiang di telinga saya, mangsa (Siti Rafini) mengejutkan suaminya dari tidur, 'Yang, bangun bangun, api api...tolong,'.

"Selepas menjerit meminta tolong beberapa kali, suara mangsa kemudian tenggelam. Kami terus keluar rumah dan menjerit meminta tolong di luar rumah untuk memberitahu jiran-jiran lain," katanya.

Katanya, dia dan keluarganya bagaimanapun tidak mampu untuk membantu menyelamatkan tiga beranak tersebut disebabkan api yang sedang marak.

"Saya sangat sedih. Mereka suami isteri yang tinggal di sini sejak awal tahun itu boleh diumpakan macam anak sendiri kerana mereka sangat mesra dengan jiran tetangga," katanya sambil mengesat air mata. - K! ONLINE