Kejadian berlaku pukul 8.20 malam ketika mangsa yang juga penolong warden asrama berusia 30 tahun memasuki pejabat itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek dikatakan berdendam mangsa yang telah menetapkan peraturan terlalu ketat di sekolah dan asrama itu.

Katanya, situasi itu telah membuat suspek mengalami tekanan perasaan melampau dan tidak berpuas hati dengan guru itu.

“Siasatan turut mendapati suspek telah gagal beberapa subjek dalam peperiksaan yang diadakan sebelum cuti sekolah bulan lalu.

“Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini selepas mendapat perintah daripada Mahkamah Telok Datok, Banting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Azizan menambah, polis tidak menolak kemungkinan pelajar tersebut terkejut dengan peraturan sedia ada sebagai sekolah berasrama penuh susulan baharu memasuki sekolah itu menerusi kemasukan ke tingkatan empat.

Jelas beliau, mangsa yang sebelum ini dirawat di Hospital Banting telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang guru kaunseling sebuah sekolah menengah di sini cedera ditikam pisau oleh pelajarnya dipercayai berang selepas bakal dikenakan tindakan buang sekolah. - K! ONLINE