Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohd. Ghazali Mohamad Taib yang menerima pengakuan salah Mazuin Zulkifli, 33, hari ini juga memerintahkan supaya tertuduh dipenjara selama enam bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut. 

Tertuduh yang berasal dari Sungai Lembing di sini, didakwa membuat resit rawatan yang dikatakan berlangsung di Pusat Kesuburan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini antara 14 September 2015 hingga 7 September 2017. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa tertuduh berkhidmat di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang memandangkan dia ditukarkan ke jabatan baharu pada 2017. 

Pertuduhan alternatif itu ditawarkan mengikut Seksyen 464 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menjalani rawatan kesuburan antara 2 Mei 2014 hingga 31 Julai 2015 namun tidak berjaya dan telah mengemukakan tuntutan kos rawatan sebanyak RM9,020 kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Pahang yang kemudiannya diluluskan pihak tersebut.

Tertuduh yang bercerai pada 2016 bagaimanapun didakwa telah menggunakan borang rawatan sama berserta resit palsu kononnya dari pusat kesuburan hospital itu bagi mendapatkan tuntutan berjumlah antara RM7,075 sehingga RM9,420.

Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Pahang telah memasukkan jumlah tuntutan itu yang diluluskan ke dalam tiga akaun berbeza milik tertuduh, secara berperingkat.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin antara lain mengemukakan cop doktor perubatan kesuburan dan resit palsu yang digunakan tertuduh untuk melakukan kesalahan itu.

Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar pada rayuannya memaklumkan tertuduh telah meletakkan jawatan pada tahun ini dan buat masa sekarang menetap bersama keluarganya.

"Tertuduh pernah menulis surat kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Pahang pada 16 Ogos 2018 bagi menyatakan hasrat membayar semula wang yang terlibat namun sehingga kini tidak menerima sebarang jawapan.

"Bagaimanapun, perbuatan itu menunjukkan tertuduh telah insaf dan kami berharap mahkamah dapat memberikan peluang terakhir dengan hanya mengenakan denda dan bukannya hukuman penjara," katanya.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarga menjelaskan denda itu. - Bernama