Pengarah Keshatan Kelantan, Dr. Zaini Hussin berkata, gejala strok haba tidak spesifik namun bagi keadaan yang serius boleh menyebabkan individu terbabit mengalami sawan.

"Setakat ini tiada kes strok haba dilaporkan di Kelantan," katanya  kepada pemberita selepas menghadiri Program Kayuhan Sihat 'Fun Ride' Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2019 di pekarangan Kolej Polytech Mara (KPTM) Kota Bharu di sini hari ini.

Beliau turut mengulangi ingatan khususnya kepada golongan berisiko agar mengurangkan aktiviti di luar rumah serta meminum air yang banyak.

Mengulas perkembangan lain, Zaini berkata, isu penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi serta jantung didapati semakin meningkat dalam kalangan rakyat.

"Jabatan Kesihatan Kelantan komited untuk terus mempromosikan aktiviti cara hidup sihat kepada masyarakat melalui aktiviti fizikal sebegini bagi menggalakkan mereka mengaktifkan diri seterusnya dapat menghindarkan penyakit yang disebabkan gaya hidup tidak aktif," katanya.

Program kayuhan tersebut disertai 700 peserta termasuk dari Terengganu serta anggota persatuan berbasikal negeri, melibatkan kayuhan sejauh 38 kilometer. - Bernama