Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, usaha itu yang melibatkan kerohanian dan psikologi dilihat dapat menjadi pendekatan berkesan bagi mengembalikan mereka kepada asal kejadian. 

"Tidak timbul isu kita sokong LGBT ini dari segi undang-undang kerana apa yang kita buat adalah lebih kepada usaha dan engagement untuk tujuan rawatan dan menyedarkan mereka bahawa perkara ini adalah satu penyakit yang boleh dirawat melalui kerohanian, psikologi dan sosiologi.

"Islam mengamalkan pendekatan yang baik dan ramah-tamah jadi kita guna pendekatan itu kerana walaupun golongan tersebut tidak diiktiraf, mereka masih mempunyai hak secara sosial," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Ismail berkata, bagaimanapun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan isu berkaitan LGBT sebagai peluru politik untuk menunjukkan bahawa kerajaan PH menyokong golongan tersebut.

"Ada pihak yang sengaja beri gambaran negatif kononnya kerajaan tidak ambil berat dan tidak sensitif dengan agama Islam. Kita semua sedia maklum LGBT itu haram sebab itu kerajaan tidak iktiraf LGBT sebaliknya mahu bersama-sama bimbing golongan tersebut," katanya. - Bernama