Impaknya? Hebohlah seketika. Kemudian dilupakan begitu sahaja.

Kenapa? Sebab umum pasti menganggap aghhh…itu lumrah dunia hiburan lebih-lebih lagi Hollywood, yang penuh bersalut glamor dan sensasi.

Sengaja mahu menempah populariti dan melariskan nama dan produk hiburan selebriti tersebut, konon­nya.

Okey. Mari kita gantikan perkataan selebriti itu dengan ahli politik pula.

Ahli politik, deepfake dan seks.

Video seks kontroversi ahli politik, mirip seorang menteri kanan Malaysia terkini menjadi tular. Satu dunia jugalah.

Tahap sensasinya agak menggila bukan? Lain macam sungguh.

Kenapa pula? Kerana ia membabitkan politik. Sehinggakan boleh menggugat keutuhan kerajaan dan masa depan negara.

Lebih-lebih lagi, sensasi seks yang ditonjolkan vi­deo lucah itu adalah kategori sejenis. Gay. Terlarang. Kononnya.

Nanti dulu. Deepfake? Apakah itu? Mungkin ada yang sudah arif mengenainya tetapi saya yakin, masih ramai di luar sana yang tidak mengetahui apakah sebenarnya itu deepfake.

Peduli apa dengan deepfake. Tidak boleh lagi. Ada apa dengan deepfake. Ya.

Istilah deepfake dikatakan mula digunakan sejak tahun 2017. Masih baharu. Ia sebenarnya menggabungkan dua perkataan iaitu deep learning (pembelajaran mendalam) dan fake (palsu).

Deepfake merupakan teknologi moden yang digunakan untuk mensistesis (untuk menyamai) imej sebenar manusia (terutama wajah) mengggunakan teknik artificial intelligence (AI) atau kecerdasan pintar.

Ia digunakan untuk menggabungkan dan menstimulasi imej dan video sedia ada ke imej atau video sumber menggunakan teknik pembelajaran mesin.

Deepfake dikatakan berupaya untuk membuat vi­deo pornografi palsu, pornografi untuk balas dendam, mencipta berita palsu serta penipuan yang cukup berbahaya.

Persoalannya sekarang ini, adakah video seks kontroversi mirip menteri kanan Malaysia itu adalah ha­sil deepfake, kerana biarpun terdapat laporan pakar teknologi dari Australia yang mendakwa ia sebagai tulen, namun ‘ketulenan’ hasil siasatan pakar ber­kenaan juga boleh dipersoalkan.

Justeru, bagi saya, selagi hal tersebut masih lagi dalam fasa siasatan, sebarang dakwaan mengenainya dianggap tidak sah.

Apa yang pasti adalah isu ini telah menjentik minda dan menyebabkan kita berfikir dua kali sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kehidupan masa kini yang berkaitan dengan penggunaan teknologi moden.

Deepfake jelas menampilkan realiti tentang masa depan. Ia menunjukkan bahawa jika kita tidak menggunakan teknologi moden dengan betul dalam kehidupan ini, masa depan kita tidak dapat dipastikan terjamin dari segi kebaikan.

Apa yang tinggal adalah impak daripada deepfake itu, sama ada ia membawa kita kepada kebenaran atau sebaliknya jika ia membawa kepada perkara yang dilihat umum sebagai tidak benar, adakah wujud keberanian dalam diri kita untuk membuktikan bahawa kita berada di jalan kebenaran.