Sekiranya dilihat pada kalendar, ianya mungkin pada September depan.
Dalam suasana ekonomi sekarang yang mencabar dan dipengaruhi faktor luaran yang tidak menentu, sebarang kemungkinan kenaikan kos dan harga barangan keperluan pastinya merisaukan orang ramai.

Meskipun penulis yakin kerajaan akan mengambil langkah proaktif bagi mengekang kenaikan harga secara melampau, berdasarkan pengalaman lalu, kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga bahan api memang sukar hendak ditahan.

Tambah menggusarkan ialah penulis turut tergolong dalam kelompok yang tidak layak menerima subsidi petrol.

Meskipun menggunakan motosikal berulang-alik ke tempat kerja atas alasan untuk berjimat cermat sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota, kapasiti motosikal penulis pada 149.16cc tidak melayakkannya turut serta menikmati subsidi petrol.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Bajet 2019 November lalu me­nyatakan hanya pemilik pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc ke bawah layak menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Penulis bukanlah seorang yang berjiwa kelajuan untuk menggunakan motosikal dengan kapasiti enjin yang besar, namun jarak antara tempat tinggal dengan lokasi pekerjaan yang sedikit jauh mengakibatkan penggunaan motosikal berenjin 125cc ke bawah mungkin kurang sesuai.

Ramai kenalan penulis yang berulang-alik dari Seremban-Kuala Lumpur untuk mencari rezeki turut menggunakan motosikal dengan enjin melebihi 125cc.

Kebanyakannya berpendapat motosikal berenjin 125cc ke bawah ini sedikit semput sekiranya perlu menempuh perjalanan jauh setiap hari.

Antara model motosikal yang paling popular digunakan untuk mereka yang menempuh perjalanan agak jauh ke tempat kerja ialah Yamaha 135 LC dengan kapasiti enjin 134cc.

Apapun penulis berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kami sedikit masa tambahan memandangkan pelaksanaan program subsidi petrol bersasar sebelum ini dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2019.

Melihat dari sudut positif, kerajaan hari ini dilihat responsif dalam mendengar keluhan dan luahan hati rakyat.

Terbaharu, Bank Negara Malaysia pada Rabu lalu telah menambah baik ciri-ciri dan kriteria untuk Dana Rumah Mampu Milik yang berjumlah RM1 bilion.

Jadi tidak mustahil syarat penerima subsidi petrol akan turut dipinda supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai limpahan kemakmuran negara. Kalau ada rezeki tak ke mana.