Daripada jumlah daftar pemilih suku keempat 2017 yang dikeluarkan oleh SPR itu, sejumlah 7,557,187 adalah pengundi wanita (50.58 peratus) manakala bakinya 7,383,437 mewakili pengundi lelaki (49.42 peratus).

Kelmarin sebanyak 586 Pusat Mengundi melibatkan 910 Tempat Mengundi (saluran mengundi) dibuka bagi membolehkan 278,590 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, Pasukan Gerakan Am serta pasangan, dan anggota tentera serta pasangan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Proses pengundian awal itu berjalan dengan lancar menyaksikan sebanyak 83 peratus pemilih berdaftar telah keluar mengundi. Kini debaran beralih ke hari pengundian sebenar pada Rabu ini di mana banyak pihak meramalkan PRU-14 merupakan ibu segala pilihan raya.

Suka atau tidak dengan keputusan pengundian nanti, anda sendiri yang bakal menentukan parti mana  akan memerintah negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pilihan yang hadir lima tahun sekali ini meletakkan negara sebagai salah sebuah kerajaan demokrasi bagi membolehkan setiap seorang daripada kita menentukan siapa layak mentadbir negara.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, rakyat bakal memilih seramai 222 ahli Dewan Rakyat atau turut dikenali sebagai Ahli Parlimen dan 505 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Menurut laman web SPR seramai 1,646 calon akan berentap di kawasan DUN manakala 687 berebut bagi kawasan Parlimen seluruh negara. Sebanyak 23 parti bertanding di peringkat DUN dan 24 lagi mengesahkan kedudukan berebut di Parlimen.

Pada PRU kali ini juga menyaksikan seramai 78 individu berentap sebagai calon bebas dengan 24 mengesahkan diri bertanding di peringkat Parlimen dan selebihnya di kawasan DUN.

Pilihan parti-parti meletakkan kepercayaan kepada wanita turut meningkat apabila seramai 251 wanita telah dicalonkan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau DUN daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon.

Barisan Nasional (BN) menampilkan 92 calon wanita berbanding 40 calon pada PRU-13 dan 36 calon wanita pada PRU-12.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM meletakkan seramai 85 calon wanita daripada 660 calon yang bertanding. Pas pula meletakkan 36 calon wanita daripada jumlah 548 calon yang bertanding pada pilihan raya umum kali ini.

Mengimbau sejenak sejarah negara, Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 merupakan yang pertama diadakan di Persekutuan Tanah Melayu selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Ketika itu, gabungan Parti Perikatan terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Se-Malaysia (MIC) berjaya membentuk kerajaan untuk mentadbir negara.

Tanggal 9 Mei 2018, tiba masa untuk rakyat negara sekali lagi memilih calon-calon yang bertanding bagi mewakili suara rakyat dan bagi memastikan demokrasi yang dipelihara selama ini terus dikekalkan dengan pembentukan sebuah kerajaan baharu.

Pesanan paling penting, jangan lupa bawa MyKad dan keluar awal semasa hari mengundi bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.