DBKL dalam satu kenyataan berkata, tindakan diambil di bawah kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 yang mana bagi kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300.

“Operasi tersebut bertujuan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya contoh dalam pematuhan undang-undang jalan raya di samping mendidik orang ramai bertanggungjawab serta mengambil berat tentang keselamatan pengguna lain.

“Tindakan akan diteruskan dari semasa ke semasa selagi mentaliti pengguna tidak menjurus ke arah pematuhan peraturan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu adalah meletakkan kenderaan di garisan kuning, membuat halangan fizikal serta meletak kenderaan secara bertindih.

“Bagi mengatasi serta mengurangi rungutan ini, DBKL telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan menunda kenderaan yang menyebabkan halangan lalu lintas serta mengurangkan kesesakan khususnya di pusat bandar.

“Warga kota dinasihatkan untuk lebih bersikap prihatin serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa menggunakan tempat awam bagi memastikan lalu lintas berada dalam keadaan lancar dan baik,” katanya. - K! ONLINE