Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Datin Dr. Noor Akma Shabuddin berkata, ia bagi memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan bersih serta tidak dicemari kuman berbahaya.

Beliau berkata, kesemua sampel makanan berkenaan akan dihantar ke Makmal Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

"Proses penganalisaan secara mikroorganisme akan dilakukan oleh pegawai sains dan lima jenis kuman akan dikaji iaitu E-Coli, Coliform, Salmonella, Bacillus dan Staphyilococcus yang berkait rapat dengan kebersihan pengendali makanan," katanya ketika melancarkan program Operasi Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2019 di sini, hari ini.

Noor Akma berkata, operasi persampelan makanan dan pemeriksaan sanitasi bermula hari ini dan akan dijalankan setiap hari secara berterusan sehingga minggu akhir Ramadan.

Beliau berkata, pada tahun lepas, sebanyak 704 sampel makanan telah dikaji dan daripada jumlah itu, 207 sampel atau 29.4 peratus didapati tercemar.

Katanya, sebanyak 75 notis kompaun turut dikeluarkan kepada penjaja-penjaja terlibat di bawah Undang-undang Kecil (UKK) Pengendali Makanan 1979.

Noor Akma berkata, selain kebersihan makanan, pihaknya juga mengadakan operasi terhadap penggunaan produk biodegradasi dalam kalangan penjaja di Bazar Ramadan.

"Mereka hanya dibenarkan menggunakan plastik biodegradable atau compostable sahaja yang mempunyai persijilan daripada Sirim Berhad," katanya dan menambah pihaknya telah mengeluarkan 330 kompaun sejak Januari lalu ke atas peniaga yang didapati tidak menggunakan produk tersebut.

Dalam tempoh sama, Noor Akma berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 971 kompaun kepada peniaga yang melanggar peraturan di bawah UKK Pengendali Makanan, Akta Makanan 1983 dan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016. - Bernama