Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, suspek yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor itu ditahan selepas pihaknya menerima aduan daripada seorang pegawai khas Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Pada 28 Disember lalu kira-kira pukul 1 tengah hari, pegawai tersebut menerima titah Pemangku Raja Pahang berkaitan pembuatan dan penjualan syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang serta Jata Negeri Pahang tanpa kebenaran daripada kedua-dua baginda," kata beliau.

Mohd. Wazir menambah, polis segera menjalankan siasatan untuk mengesan individu bertanggungjawab yang menghasil dan menjual syiling emas berkenaan sebelum pihaknya berjaya menahan seorang lelaki di Batu Caves, Selangor kelmarin.

"Ahli perniagaan itu ditahan pada pukul 9.15 pagi dan polis merampas sekeping syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang dan sekeping lagi dengan potret Pemangku Raja Pahang. Kedua-dua syiling juga tertera Jata Negeri Pahang.

"Setiap keping syiling dianggar bernilai RM8,000 untuk kos pembuatan dan harga jualan pada harga RM18,888. Polis turut merampas buku katalog cenderamata syiling emas tersebut," tambahnya.

Ujar beliau lagi, hasil siasatan awal mendapati ahli perniagaan tersebut hanya menghasilkan dua keping syiling emas berkenaan dan ia akan dibawa menghadap Tengku Abdullah untuk memohon kebenaran dan perkenan baginda.

"Kes ini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujar beliau sambil enggan mengulas lanjut berhubung siasatan. - K! ONLINE