Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri (gambar kecil) berkata, perbuatan jahat suspek terbongkar apabila pegawai perubatan Hospital Batu Gajah menemui dua kesan cucuhan rokok di badan kanak-kanak lelaki itu.

“Mangsa pada awalnya dibawa pengasuh ke hospital berkenaan pada pukul 5.16 petang Khamis lalu bagi mendapatkan suntikan imunisasi. 

“Pegawai perubatan yang merawatnya bagaimanapun menjumpai kesan terbakar pada bahu sebelah kanan dan tepi pusat sebelah kiri badan mangsa disyaki didera sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Difahamkan, kanak-kanak tersebut dijaga pengasuh sepenuhnya selepas kedua-dua ibu bapa mangsa sedang berada dalam tahanan Penjara Tapah atas kesalahan berkaitan dadah. 

Menurut Ahmad Adnan, siasatan lanjut mendapati mangsa dijaga oleh datuknya pada hari kejadian kerana pengasuh yang menjaga mangsa mempunyai urusan pendaftaran persekolahan anaknya. 

“Suspek bagaimanapun menafikan perbuatannya itu dan mendakwa puntung rokok yang dihisapnya terjatuh sebelum terkena pada bahu lalu terselit pada lampin pakai buang yang dipakai mangsa ketika dia mahu membuang air besar. 

“Lelaki itu hanya menyapu kicap pada kesan terbakar dan tidak membawa mangsa ke mana-mana klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. 

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga esok dan dia disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia negatif dadah namun semakan rekod jenayah lampau mendapati dia mempunyai empat rekod berkaitan jenayah pecah rumah, pecah amanah dan dadah,” katanya. - K! ONLINE