Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar itu yang sedang dikaji semula dan kini di peringkat akhir kajian akan menangani definisi rumah mampu milik, harga semasa rumah, konsep bangunan masa depan dan kemudahan yang kementerian bercadang untuk memperkenalkan dalam skim perumahan awam dan swasta.

"Kami akan mematuhi nasihat Bank Negara mengenai lingkungan harga rumah untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40. Saya akan membuat pengumuman mengenainya pada akhir September," kata beliau.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas menerima 'mock-cheque' bernilai RM250,000 daripada presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Ir Soam Heng Choon untuk Tabung Harapan.

Turut hadir bekas Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor.

Bulan lepas, Zuraida dilaporkan berkata, bahawa  tujuan dasar itu dikaji semula ialah untuk menangani keadaan lebihan bekalan yang dihadapi oleh pasaran hartanah mewah. - Bernama