Katanya ini terbukti dengan langkah Bank Dunia yang telah meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun 2018 kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus sebelum ini. 

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pada tahun 2017, Bank Dunia menyemak naik KDNK negara sebanyak tiga kali.

"Dalam masa satu tahun tiga bulan, Bank Dunia telah menyemak naik (kadar pertumbuhan) sebanyak empat kali.

"Ini membuktikan kita berada di atas landasan dasar-dasar yang tepat," katanya pada majlis minum petang bersama  Anak-Anak Pahang di Lembah Klang di sini, hari ini. 

Najib berkata Bank Dunia turut meramalkan Malaysia dapat tergolong dalam kategori negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2022. 

Dalam itu, perdana menteri berkata pelaksanaan projek berimpak tinggi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jelas akan membawa nafas baharu kepada pembangunan di negeri Pahang dan memanfaatkan rakyat negeri itu.

Katanya landasan ECRL yang merentasi terowong bawah tanah sepanjang hampir 20 kilometer dari Genting ke Bentong juga bakal merupakan terowong bawah tanah kereta api yang terpanjang di Asia Tenggara.

Katanya bagi merancakkan pertumbuhan setempat di negeri Pahang, pelbagai projek berpaksikan rakyat juga dilaksanakan termasuk pembinaan 'central spine road ', loji-loji air, Taman Automotif Pekan, Taman Teknologi Pahang dan Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan.

"Semua ini bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak," katanya.

Perdana menteri berkata projek-projek ini akan mewujudkan lebih 64,000 peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak tempatan dan hampir 277,000 isi rumah akan mendapat faedah daripada pelaksanaannya.

Justeru, kata Najib,  demi memastikan masa depan negeri itu terus terjamin, beliau turut menyarankan supaya anak-anak Pahang memilih pihak yang boleh menjanjikan masa depan yang jauh lebih baik. 

Perjumpaan  yang dihadiri kira-kira 1,500 orang anak watan Pahang menetap di sini  itu dianjurkan Gabungan Anak Daerah-Daerah Pahang di Lembah Klang. - Bernama