Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah malam, pemilik rumah, Nori Asyikin Halim, 49, mahu masuk tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat menghentam dapur rumahnya.

Semasa kejadian dia bersama dua anak, ibu serta adiknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) di kediaman tersebut.

Nori Asyikin berkata, sebelum kejadian mereka dikejutkan dengan bunyi desiran angin yang kuat, disusuli dengan bunyi bising dari luar rumah.

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu dentuman kuat dan kemudian rumah bergegar seolah-olah gempa bumi.

"Terkejut dengan kejadian itu saya terus bergegas keluar menyelamatkan adik merupakan seorang OKU yang berada di dalam sebuah bilik berhampiran dapur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nori Asyikin memberitahu, dia terus menarik dan membawa adiknya itu ke tempat selamat dan tidak dapat melihat keadaan sebenar rumahnya kerana kawasan persekitaran yang sangat gelap.

“Setelah berada di luar rumah saya dapati pokok kekabu yang sudah berusia 100 tahun itu tumbang menyembah bumi hingga meranapkan dapur kami,” katanya. K! ONLINE.