Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Industri Maritim Jabatan Laut Wilayah Timur, Johari Mohamed berkata, ia penting bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini ketika berada di tengah laut.

Katanya, kebanyakan pengusaha bot yang mengendalikan pakej mencandat sotong di Pantai Timur terdiri daripada nelayan dan mereka sepatutnya mendapatkan permit khas terlebih dahulu sebelum menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

"Sekarang kita dalam proses menerima permohonan kerana musim candat sotong baru sahaja bermula dan biasanya berakhir pada Julai.

"Pada tahun lalu, di Terengganu sahaja kita keluarkan 82 permit kepada nelayan yang menepati syarat ditetapkan dan ia adalah tertinggi berbanding Kelantan serta Pahang," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup taklimat keselamatan kepada pengusaha dan tekong bot mencandat sotong peringkat negeri di Akademi Perikanan Malaysia Chendering di sini hari ini.

Antara syarat yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan permit khas tersebut ialah bot dalam keadaan baik, enjin bersih serta dilengkapi lampu keselamatan, boya dan jaket keselamatan yang mencukupi.

Dalam masa sama, Johari berkata, sekiranya terdapat pengusaha bot atau nelayan yang menawarkan perkhidmatan mencandat sotong tanpa permit khas, jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Beliau berkata, walaupun pihaknya tidak pernah menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai perkara tersebut, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

"Kita faham bahawa aktiviti mencandat sotong ini adalah pekerjaan turun temurun nelayan tradisional terutama di Terengganu dan mengikut rekod, sebanyak 3,608 tan matrik sotong berjaya didaratkan pada tahun lalu sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada golongan itu.

"Namun, kita minta supaya pengusaha bot atau nelayan memohon permit khas terlebih dahulu kerana tugas kerajaan bukan sahaja meningkatkan pendapatan nelayan, tetapi juga merangkumi aspek keselamatan," katanya. - Bernama