Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, perkara itu akan dibangunkan menerusi Zon Industri Akuakultur (ZIA).

Menurutnya, pemilihan kawasan itu dilakukan selepas kerajaan negeri melihat Danau Tok Uban mempunyai pontesi besar untuk dibangunkan dengan industri ternakan ikan air tawar disebabkan kawasan tersebut yang cukup luas.

Ujarnya, industri penternakan ikan air tawar itu juga dilihat mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan penternak sendiri.

 "Buat masa ini kerajaan negeri sudah mengemukakan cadangan bagi menilai dan mengkaji input-input yang boleh dibangunkan bergantung kepada kemampuan kerajaan negeri bagi membangunkan industri penternakan ikan air tawar di tasik ini.

"Antara ikan yang dilihat sesuai diternak di kawasan ini ialah lampan, talapia, kelah dan patin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sangkar Ikan Kepada Peserta Di Zon Industri Akuakultur Danau Tok Uban, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Nazri Ishak.

Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, buat masa ini seramai 35 peserta yang telah mengusahakan penternakan ikan air tawar dengan melibatkan 140 sangkar.

Katanya, jumlah peserta dijangka bertambah dari semasa ke semasa dan hari ini pihaknya telah memperuntukkan RM150,000 bagi membantu peserta-peserta tersebut. - K! ONLINE