Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata, dana tersebut bertujuan untuk membantu membangunkan kaum itu khususnya daripada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan cara yang saksama.

"Kerajaan sememangnya berhasrat untuk terus menambah ekuiti masyarakat India di dalam ekonomi negara. Modal awal akan dikumpul daripada sumbangan kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk M. Sambanthan yang ingin tahu adakah kerajaan sekarang akan menambah jumlah unit saham menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang diperkenalkan di bawah kerajaan terdahulu.

Waytha Moorthy berkata, kerajaan sedang mengkaji semula segala program yang telah dijalankan di bawah MIB serta cuba memperbaiki usaha untuk mempertingkatkan lagi taraf hidup masyarakat India di negara ini. - Bernama