Menurut sumber, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari parti DAP itu akan dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Pengarah Pendakwaan Negeri bagaimanapun masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu sehingga kini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Choo Kiong yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya. 

Wanita berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol majikannya di rumah lelaki itu di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan.

Sehubungan itu, tangkapan dilakukan terhadap Choo Kiong pada 9 Julai lalu namun dia dibebaskan dengan jaminan polis setelah pasukan penyiasat berjaya melengkapkan siasatan kes berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Kertas siasatan kes itu kemudiannya dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan seterusnya namun dikembalikan semula kepada pihak polis bagi melengkapkan beberapa perkara serta mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia. - K! ONLINE