Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Services Sdn. Bhd. (DMSS), Lawrence Song Yew Beng berkata, penajaan itu diteruskan bagi mempromosikan amalan gaya hidup sihat kepada masyarakat melalui atlet negara bersempena dengan usaha pihaknya dalam menggunakan teknologi hijau.

“Atlet ini adalah duta Daikin dan kami percaya dengan menaja mereka, masyarakat akan menyedari bahawa kami bukan sekadar jenama penyaman udara biasa, tetapi jenama yang membawa mesej kepentingan menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Selain memberi fokus pada penghasilan produk yang tidak menyumbang kepada pemanasan global, Daikin juga menginspirasikan masyarakat untuk memilih penggunaan penyaman udara yang lebih mesra alam,” katanya semasa Majlis Menandatangani Duta Daikin di Daikin Malaysia Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Turut hadir bersama ialah Pengurus Besar Serantau Daikin Asian Emerging District, Fang Yuan dan Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia Sdn. Bhd., Ooi Cheng Suan.

Majlis tersebut melibatkan tiga atlet tersohor iaitu jaguh basikal trek dunia, Azizulhasni Awang serta pasangan beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang pernah memenangi pingat perak di Olimpik Rio, Brazil pada 2016 lalu.

Sementara itu, duta Daikin, Azizulhasni Awang berkata, syarikat penyaman udara nombor satu dunia itu sangat komited dalam memberi sokongan padu kepada atlet negara sepertinya.

“Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Daikin kerana mengambil inisiatif ini untuk memberi sokongan kepada atlet tempatan kita, khususnya mereka yang sedang menjalani latihan bagi persediaan menghadapi perlawanan besar seperti Sukan Olimpik 2020 di Jepun nanti,” ujar atlet yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu lagi. - K! ONLINE