Dimulai dengan vokalis Iklim, Saleem; Zamani Slam, Jamal Abdillah, Benjy, She­reen, Radhi OAG, Ameng Spring, Samzy Fuzzette, Zack New Boys, Saiful Apek, Zarina Anjoulie, Ezad Exist dan Mamat Exist, nama-nama itu akan kekal terkait hitam si durjana bernama dadah.

Itu baru artis tempatan, bintang luar negara juga tersangat ramai, malah mungkin tidak terhitung bilangan mereka yang tewas selepas bergelar penganut dadah. Implikasi dadah terhadap artis antarabangsa sebenarnya jauh lebih teruk berbanding anak seni tempatan.

Penyanyi, Amy Winhouse misalnya menemui ajal pada usia 27 tahun selepas tiga tahun berjuang mahu keluar daripada pengaruh dadah. Pengambilan alkohol yang berlebihan juga menjadi punca tamatnya riwa­yat penyanyi lagu Rehab itu pada usia yang belum genap angka 27 tahun pada 2011.

Bintang muzikal Glee, Cory Monteith yang sememangnya bermasalah ketagihan dadah sejak kecil ditemui mati di bilik hotel di Kanada pada Julai 2013 akibat pengambilan dadah jenis heroin malam sebelum kematian.

Whitney Houston yang terkenal dengan lagu I Will Always Love You juga sekian lama berperang de­ngan ketagihan. Dia ditemui mati lemas dalam tab mandi di sebuah hotel di Beverly Hills akibat pengambilan alkohol dan kokain yang melam­pau.

Sebenarnya ramai lagi artis Hollywood yang mati ke­rana dadah, namun melihat sejarah kronik tersebut, kita harus bersyukur kerana belum ada anak seni tempatan yang mati lantaran bahana ketagihan.

Jadi, apabila kes amuk aktor dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil di Balai Polis Trafik Damansara Utama, Petaling Jaya beberapa minggu lalu didakwa berpunca daripada hilang kawalan mental akibat ganja, itu bukan sesuatu yang luar biasa.

Cumanya, sudah agak lama selepas Zamani, Farid yang selama ini agak bersih daripada kontroversi, tiba-tiba dijumpai berjalan tanpa berbaju dan membuat kecoh sehingga bertindak agresif, memukul anggota polis serta orang awam sewaktu hendak membuat repot kemalangan keretanya; itu sudah cukup untuk meledakkan perhatian negara.

Tambahan pula, Farid baru sahaja dianugerahkan gelaran Datuk dari Istana Pahang. Ingatan terhadap­nya juga masih menebal hasil kemunculan menerusi filem pecah panggung Pinjamkan Hatiku dan Tombiruo: Penunggu Rimba.

Ekoran kes Farid, tidak sahaja golongan media dan artis, ramai yang tumpang menyesakkan kepala dengan pelbagai reaksi serta muat naik di laman sosial. Masing-masing menebak dan menghitung punca permasalahan, mengapa aktor Lagenda Budak Setan itu terjerumus ke lembah dadah hingga bertindak seperti kurang siuman di balai polis. 

Ada juga sumber tidak rasmi berkata, hanya rakan ‘subahat’ ganjanya sahaja yang tahu situasi sebenar Farid. Adakah pelakon itu sedang berdepan tekanan perasaan yang mencengkam akibat masalah rumah tangga memandangkan isterinya, Diana Danielle tidak mahu memberi sebarang kenyataan walaupun kelibatnya muncul di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada hari Farid dibenarkan keluar dari lokap selepas direman.

Lalu, sebagai orang biasa dan bukan pegawai penyiasat atau hakim yang membenarkan ikat jamin terhadap setiap pertuduhan yang di­terima bapa kepada sepasang cahaya mata itu, apakah tanggungjawab kita semua berhubung isu dadah?

Terus bercakap atau bertindak? Persoalan itu tidak mampu kita jawab selain beringat dan menjauhkan diri dan keluarga sendiri daripada petualang tersebut, kerana sekali terjebak jalan keluar­nya sungguh sukar.