Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek lelaki masing-masing berumur 14, 22 dan 23 tahun itu dicekup antara pukul 8 hingga 10.30 malam tadi di perumahan tersebut.

Jelasnya, laporan dibuat oleh mangsa warga Bangladesh berumur 27 tahun yang didakwa telah dirompak suspek ketika berada di dalam rumahnya kira-kira pukul 3 petang semalam.

"Suspek telah bertindak memecahkan kunci pintu hadapan rumah mangsa lalu meminta menyerahkan wang.

"Ketiga-tiga suspek kemudian mula menyelongkar dan mengambil barangan yang terdapat di dalam rumah termasuk duit RM10 yang disorok di bawah tilam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, difahamkan mangsa turut mengenali salah seorang daripada suspek yang juga merupakan jirannya sebelum bertindak membuat laporan.

"Hasil semakan dilakukan mendapati suspek berusia 23 dan 22 tahun mempunyai rekod kesalahan membabitkan jenayah pecah rumah, mencuri dalam bangunan dan dadah.

"Kedua-dua mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Suspek yang berusia 14 tahun bagaimanapun tidak direman dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya. - K! ONLINE