Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengurangan sebanyak 90 peratus itu dijangka dapat meringankan beban rakyat di negara ini untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah yang sebelum ini mencecah sehingga RM18,000.

Katanya, pada ketika ini hanya sembilan buah negara sumber sahaja yang membenarkan pengambilan pembantu rumah secara terus namun pihak Indonesia dan Filipina sahaja yang menetapkan supaya semua pengambilan melalui syarikat tenaga kerja yang berdaftar di negara tersebut.

“Kita telah putuskan dalam mesyuarat yang dilakukan tadi (semalam) pembayaran yang harus dilakukan kepada pihak kerajaan hanya sekitar RM1,635 sahaja dan ini adalah kos meliputi pengambilan manakala kos-kos lain seperti penerbangan ditanggung oleh majikan.

“Kos pasport dan kos lain, kita sudah ambil langkah pengurangan termasuk kurangkan kadar wang cagaran daripada RM1,000 kepada RM500 dan wang proses RM500 kepada RM250 ertinya kerajaan ambil langkah proaktif untuk mengurangkan kos untuk mengambil pembantu rumah asing,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - K! ONLINE