Itu kata-kata orang zaman sekarang yang kita tidak suka dengar, tetapi ia sebenarnya realiti dan cabaran tersebut perlu ditempuh anak-anak muda.

Zaman sudah berubah, teknologi bergerak pantas, persaingan terlalu hebat dan graduan pula berlambak keluar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam serta swasta.

Berbekalkan diploma dan ijazah yang dimiliki selepas dua hingga empat tahun pengajian, peluang untuk memperoleh pekerjaan di sektor swasta dan awam kini kelihatan semakin sukar.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur termasuk golongan siswazah.

Peluang pekerjaan juga pastinya akan lebih malap jika kerajaan meluluskan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia untuk meningkatkan had umur bersara pekerja Malaysia daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran kelmarin dilaporkan berkata, negara sebenarnya kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan kerana Malaysia mengambil ramai pekerja asing disebabkan masalah itu.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa minit be­rita itu tersebar kelmarin, ramai pihak yang mengecam cadangan tersebut termasuk Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang bimbang kadar pengangguran di negara ini akan terus meningkat.

Pengarah MEF, Datuk Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata, sebelum ini had umur bersara telah ditingkatkan kepada 60 tahun pada 2013.

Langkah itu katanya telah menyebabkan kira-kira sejuta peluang pekerjaan yang sepatutnya dikosongkan oleh mereka yang bersara pada umur 55 tahun telah lupus.

Di laman sosial Facebook, ramai netizen yang turut mengecam, tidak kurang juga marah jika cadangan meningkatkan had umur bersara diluluskan kerajaan.

Seorang netizen, Nazariah Naza berkata, sepatutnya umur persaraan wajib ditetapkan pada usia 55 tahun kerana ia akan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang masih ramai me­nganggur.

“Mereka (anak-anak muda) lebih produktif, yang sudah berumur berehatlah untuk memberi tum­puan kepada akhirat pula,” katanya.

Seorang lagi netizen, Qamar Fitri berpendapat, sampai bila mahu terus bekerja kerana jangka hayat rakyat Malaysia pun lebih kurang 75 tahun dan ada 10 tahun sahaja untuk menikmati dunia persaraan.

“Jika ramai yang masih mahu bekerja pada usia 55 tahun ke atas, nampaknya ramai rakyat kita yang tidak lagi bersedia untuk bersara. Maksudnya tiada wang mencukupi untuk bersara,” ujarnya.

Bagaimanapun, kemarahan netizen reda seketika apabila Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar petang semalam mengumumkan had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada usia 60 tahun.

Katanya, keputusan itu muktamad dan telah dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang ber­mesyuarat pada Mac lalu.

Bagi penulis, cadangan meningkatkan had umur bersara kepada 65 tahun ibarat menutup pintu rezeki orang lain termasuk graduan yang sedang me­nunggu giliran mereka untuk mendapat pekerjaan.