Namun dalam mana-mana pemerintahan, sistem percukaian berkembang dan muncul dalam pelbagai bentuk.

Malah dalam Islam, percukaian diiktiraf apabila diwajibkan zakat sebagai satu sistem untuk membina masyarakat yang adil iaitu jurang orang miskin dan kaya dikurangkan. Zakat bukan sekadar zakat fitrah yang perlu dibayar setiap Ramadan.

Di kampung-kampung, golongan pesawah tidak pernah lupa membayar zakat padi dan golongan wanita yang menyimpan emas juga patuh membayar zakat emas.

Sistem zakat berkembang apabila ijtihad merumuskan mal al-mustafad (harta perolehan) seperti upah atau gaji wajib dikeluarkan zakat. Sebab zaman sekarang bukan semua orang tanam padi sebaliknya ramai yang jadi kaya-raya melalui pelbagai sektor perusahaan.

Hasil zakat dimasukkan ke dalam Baitulmal untuk membantu para asnaf. Kemodenan sistem pungutan zakat di negara ini banyak membantu menaik taraf sosio­ekonomi masyarakat Islam.

Namun negara masih memerlukan dana yang besar untuk membangunkan negara secara keseluruhannya. Dalam hal ini, pemerintah memerlukan cukai. Apa yang sering dipertikaikan ialah apabila rakyat terasa terbeban dengan cukai yang dikenakan. Cukai Barang dan Perkhidmatan menjadi bahan kempen politik hingga Barisan Nasional ditumbangkan.

Mulai 1 September lalu, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula. Sebagai rakyat, apa yang membimbangkan ialah apabila pelaksanaan se­mula SST, golongan peniaga mengambil kesempatan menaik harga barang. Cukai yang sepatutnya menjadi meka­nisme untuk disalurkan semula kepada masyarakat bertukar menjadi satu bebanan.

Sebagai pembayar cukai, rakyat mahu wang yang mereka salurkan itu benar-benar dimanfaatkan tanpa berlaku ketirisan terutamanya membabitkan sektor utama seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur awam seperti jalan raya.

Melalui cukai juga kerajaan boleh memperkenalkan bantuan-bantuan dalam meningkatkan daya rakyat untuk menjadi lebih berdikari selain membantu insan tidak berkemampuan sekali gus membentuk keadilan sosial dalam masyarakat.

Hasil cukai yang masuk ke dalam perbendaharaan negara juga perlu melalui proses audit yang ketat supaya segala perbelanjaan dikawal dengan baik dan membanteras gejala rasuah dengan tegas. Rakyat tidak seharus­nya membenarkan petualang negara membawa lari wang cukai itu untuk kepentingan diri sendiri.

Selain itu, orang ramai perlu menggunakan kuasa sebagai pengguna untuk mengekang sikap pemodal dan peniaga daripada mengaut keuntungan berlipat kali ganda atas alasan pelaksanaan cukai. Suara pertubuhan seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia atau Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia perlu lebih lantang mengutarakan isu hak pengguna untuk mengekang kenaikan harga barang dan memperjuangkan kadar upah yang lebih kompetitif.

Gerakan kepenggunaan yang berkesan mampu memberikan ingatan kepada peniaga agar menawarkan barang pada harga yang berpatutan dan berkualiti.

Kita tidak perlu bersikap hipokrit apabila asyik mengkritik harga barang mahal tetapi setiap hari melepak di kedai kopi premium atau bistro.

Melalui gerakan kepenggunaan, masyarakat ada kuasa untuk memboikot mana-mana premis yang menjual barang dengan harga yang mahal.

Jadilah pengguna yang bijak. Dalam masa sama kita bertindak sebagai pembayar cukai yang mempunyai pendirian tegas untuk melakukan ‘semak dan imbang’ terhadap sebarang langkah kerajaan.