Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, kadar gaji minimum RM1,200 untuk sektor awam dan RM1,100 bagi sektor swasta yang dinikmati sekarang sudah tidak relevan dan sangat tidak memadai terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

"Hari ini gaji minimum RM1,100 untuk sektor swasta dan RM1,200 bagi sektor kerajaan sangat murah. Setelah pelbagai potongan dan caruman, gaji bersih bulanan yang dibawa balik cuma RM400 hingga RM500, apa yang hendak dimakan?.

"Saya menaruh kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mempertimbangkan permohonan ini kerana sudah menjadi sebahagian perjuangan mereka untuk meningkatkan gaji pekerja (rakyat)," katanya.

Terdahulu beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu di sini hari ini.

Azih berkata, golongan pekerja baik sektor awam dan swasta terutama kategori B40 amat terbeban dengan kos sara hidup sehingga dikhuatiri tidak akan mampu lagi membeli kediaman sendiri mahu pun membiayai pengajian anak masing-masing di institusi tinggi pada masa depan. - K! ONLINE