Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda menegaskan sekiranya situasi itu tidak dibendung akan membebankan lebih 30 juta rakyat negara ini khususnya golongan B40 (golongan 40 peratus berpendapatan rendah negara) yang kini terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi mutakhir ini.

"SST ini bukan perkara baharu sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lagi.

"Meskipun SST ini diperingkat pengilang dan pembekal saya percaya kenaikan (harga barang) tetap akan berlaku.

"Harapan kita, kerajaan dapat mengawal kenaikan kos ini kerana beban dan kesannya terpaksa ditanggung khususnya golongan B40," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dalam lawatan kerja singkat bagi mengeratkan hubungan CUEPACS dengan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, kesatuan sekerja sektor awam itu berharap kerajaan dapat mengkaji pelaksanaan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada penjawat awam.

"Kenaikan itu bersifat kritikal khususnya bagi penjawat awam yang tinggal di bandar-bandar besar seperti di Lembah Klang, Johor dan Selangor," katanya. - K! ONLINE