Dalam kejadian pada 14 Jun lalu, lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun diberkas bersama bagasi ketika cuba melepasi mesin pengimbas.

Pengarah JKDM Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, imej mesin pengimbas ke atas bagasi tersebut menunjukkan keraguan.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut menjumpai wang tunai RM207,000 disyaki melanggar Akta Kastam 1967.

"Siasatan ke atas suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah selain memberi tahu dia membawa masuk wang tersebut secara bulanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor Bahru di sini hari ini.

Mohammad Hamidan berkata, suspek ditahan reman 14 hari bermula 15 hingga 28 Jun ini untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, dalam kejadian berasingan, JKDM Johor pada 18 Jun lalu berjaya mematahkan cubaan membawa keluar pelbagai mata wang asing termasuk Ringgit Malaysia bernilai RM6.36 juta di Plaza Kenderaan Ringan, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah dekat sini.

Kejayaan itu hasil adalah risikan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah dan menahan sebuah kereta Honda Accord yang dinaiki dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun menghala ke Singapura.

Kedua-dua suspek bagaimanapun telah didakwa di Mahkamah Johor Bahru semalam. - K! ONLINE