Dalam tinjauan Kosmo! mendapati cuaca sejuk dan kabus tebal itu melanda kawasan ini ketika awal pagi dan bacaan suhu terendah yang dicatatkan ialah 17 darjah Celcius.

Seorang peniaga di bandar Gua Musang, Hasnah Deraman, 46, berkata, cuaca dingin yang melanda daerah ini boleh dianggap luar biasa kerana keadaan yang berkabus tebal selain udara sejuknya mengcengkam tubuh.

“Rasanya sudah hampir seminggu cuaca dingin seperti ini. Paling ketara waktu pagi dan malam apabila tidur tidak perlu pasang kipas serta tidur dengan memakai baju sejuk," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Rohaizad Che Soh, 41, yang tinggal di Kampung Pulau Setelu di sini pula berkata, pada waktu pagi sejuknya terasa hingga ke tulang dan kabus tebal melanda di kawasan kampung sehingga menjejaskan pandangan. - K! ONLINE