Malah, organisasi yang memainkan peranan penting dalam menyokong sosioekonomi negara ini mampu memberi inspirasi kepada generasi semasa dan akan datang menerusi keprihatinan mereka dalam membantu komuniti terpinggir atau usaha-usaha memelihara dan memulihara warisan negara serta khazanah alam.

Mungkin ada di antara kita yang akan beranggapan bahawa usaha murni itu sekadar satu cara untuk ‘mempopularkan’ perniagaan atau meletakkannya di sisi yang positif tetapi hakikatnya ia memberi impak yang besar terhadap pembangunan negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan (RMK-10), kerajaan memberi penekanan terhadap usaha-usaha CSR dengan meletakkan Visi 2020 dijadikan teras negara sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan masyarakat yang penyayang dan makmur, di samping itu, syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan menerajui sumbangan terhadap masyarakat.

RMK-10 sebelum ini juga mengenal pasti kepentingan usaha sama awam-swasta dan bagaimana ia mampu menyumbang dalam matlamat pembangunan, dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menerbitkan
pekeliling amalan perniagaan terbaik iaitu Tanggungjawab Korporat: Panduan Penzahiran dan Pelaporan serta Agenda Tanggungjawab Korporat yang bertemakan ‘Memacu Perniagaan Melangkaui Keberuntungan’.

Selain itu, Bursa Malaysia juga memerlukan semua syarikat tersenarai awam dan subsidiari mereka untuk melaporkan aktiviti-aktiviti atau amalan CSR mereka.

Mempunyai ramai kenalan yang aktif terlibat dalam usaha-usaha tanggungjawab korporat yang dilaksanakan oleh majikan mereka serta yang menabur bakti kepada kumpulan yang memerlukan menerusi badan-badan bukan kerajaan (NGO), saya amat tersentuh dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan.

Baru-baru ini, rakan saya yang kini merupakan Naib Pengerusi Projek Iqra, Sharifah Sharina Syed Aswad bercerita kepada saya bahawa sebuah syarikat pengeluar minuman probiotik terkemuka sebelum ini pernah menyumbang kepada seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami masalah kesihatan setelah menerima surat daripada beliau mengenai keadaan kanak-kanak berkenaan.

“Beberapa tahun lalu aku menulis kepada syarikat tersebut berkenaan seorang kanak-kanak daripada keluarga susah yang hanya boleh mengambil minuman probiotik mereka ekoran keadaan kesihatan yang dialaminya iaitu lahir tanpa salur najis.

“Syarikat itu datang dari Kuala Lumpur dan menyumbangkan keluarga kanak-kanak berkenaan sebuah peti sejuk dan bekalan minuman mereka dari cawangan di Kuantan ke Kijal, Terengganu di mana mereka menetap.

“Sungguhpun kanak-kanak terlibat tidak dapat bertahan lama tetapi syarikat itu telah memudahkan kehidupan arwah sebelum itu sehingga hari beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.”

Ini merupakan antara usaha syarikat ternama yang telah membantu meringankan beban yang dialami golongan yang kurang berkemampuan dan saya pasti terdapat banyak lagi kisah-kisah di luar sana.

Walaupun suatu usaha itu dilihat kecil, namun hakikatnya bagi penerima, ia memberikan impak yang sangat besar kepada penerima.

Oleh itu, bagi mereka yang memandang enteng betapa besarnya impak CSR dan usaha yang dijalankan, saya berharap persepsi itu dapat diubah dan lebih banyak usaha dizahirkan dan dilaksanakan secara berterusan agar mereka yang terpinggir atau kumpulan sasar terus mendapat manfaat.