Dalam salah satu temu bualnya, Lennon pernah memberi filosofi tentang cinta. “Saya tidak terlalu peduli tentang wang. Wang tidak dapat membeli cinta,” katanya tidak lama dahulu.

Pernyataan tersebut ada benarnya. Lennon meninggalkan The Beatles pada 1970, setahun selepas berkahwin de­ngan Yoko. Walhal, itu masih menjadi era kegemilangan band tersebut dengan album ter­akhirnya, Abbey Road terjual sebanyak tiga juta unit dalam tempoh tiga minggu. Bersama Yoko, Lennon membina kehidupan sendiri dan meletakkan wang di belakang cinta.

Itu kisah tentang pasangan tersohor dunia. Di Malaysia, kita juga punya cerita yang kurang lebih serupa. Kisah cinta yang tidak dibeli dengan wang, sekurang-kurangnya jika dinilai pada mata kasar.

Ya, saya teringat tentang pasangan dua sejoli yang kini sedang berbahagia, Fattah Amin dan Fazura. Pada saat Fazura mengambil keputusan untuk melepaskan zaman solonya dan menjadi belahan jiwa ­Fattah, banyak kata nakal menyifatkan aktres, penyanyi dan duta pelbagai produk itu mampu memiliki lelaki jauh lebih berharta, kaya dan berpengaruh dari­pada Fattah. Sementelah, hayat karier Fazura jauh me­ninggalkan usia kerjaya ­Fattah yang baru bermula.

Apalah sangat yang ada pada Fattah, selain ketampanannya. Aset dan kewangan Fattah diragui serta mampukah dia ‘menghidupkan’ seorang wanita yang kelihatan sangat berselera mewah seperti Fazura. Mereka juga tidak bercinta lama, kurang enam bulan. Asmara yang terjalin pantas disimpul dengan pernikahan dan kini, mereka sedang menikmati manisnya rasa cinta sebagai pasangan suami isteri.

Sempat Fazura menjadi tular kerana kenyataannya yang mengatakan Fattah ke bilik air pun sudah rindu! Ada yang berasa geli, namun banyak juga mengatakan ia romantik.

Ia mengingatkan saya pada satu ungkapan yang pernah dibaca. Ungkapan tersebut berbunyi: “Jangan menghabiskan cinta dan kasih sayang pada masa sebelum menikah. Masih ada perjalanan panjang dalam rumah tangga nanti.”

Ungkapan itu, mahu saya dedikasikan buat satu lagi pasangan yang telah membelakangkan wang atau material demi mencapai matlamat cinta mereka. Mereka adalah seorang wanita dan lelaki biasa, yang langsung tidak masuk dalam konteks dunia glamor iaitu adikku, Mohd. Faidzal Surip dan pasangannya Shahidayah Hadzme.

Jika era 1970-an, banyak pasangan patuh dengan pilihan keluarga. Namun, pada era milenium, banyak yang membentak apabila cuba dijodohkan keluarga. Mereka lebih senang memilih pasa­ngan hidup sendiri. Bertentang empat mata itu wajib. Supaya lebih kenal dan mesra.

Pada zaman tidak banyak yang percaya dengan cinta jarak jauh, bercinta selepas kahwin, malah, tidak pernah bertemu empat mata sepanjang bercinta, rupa-rupanya ada juga pasangan yang berjaya mengharunginya.

Sepanjang dua tahun ber­kenalan menerusi laman sosial, mereka tidak pernah bertemu. Setahun selepas bercinta barulah menggunakan aplikasi Facetime dan dalam tempoh ini mereka bertunang. Dan hari ini, atas izin Allah, buat pertama kali mereka bertemu pada hari pernikahan yang berlangsung secara ringkas tetapi penuh adat. Bermula hari ini juga mereka akan cuba tinggal bersama, berkongsi banyak hal berdua dan belajar bertoleransi tentang sikap masing-masing demi memupuk cinta mereka dalam fasa berumah tangga.

Tahniah Mohd. Faidzal dan Shahidayah yang telah membuat kami percaya bahawa cinta memang tidak memerlukan alasan untuk bersemi biar sekali pun tidak pernah bersua kecuali memasang keyakinan dan tawakal yang besar kepada Yang Esa. Selamat me­raikan cinta, satu-satunya rasa yang tidak dapat dibuang dari dalam hati dan perasaan seseorang yang bernama manusia.