“Berapa guru yang masih hidup?” Sebaris perta­nyaan Hirohito itu mengejutkan pembantunya. Akibat kehairanan, pertanyaan maharaja kembali dibalas dengan pertanyaan. Sebagai pegawai tentera, pembantu itu pelik, kenapa guru menjadi golongan pertama difikirkan maharaja dan bukannya tentera?

Kata Hirohito, baginda tidak berniat untuk menyinggung perasaan golongan rakyat yang bekerja dalam bidang lain. Baginda sedia maklum bahawa banyak tentera Jepun gugur di medan perang dan semua orang meratapi bencana yang dialami.

Jadi, mengapa jumlah guru yang masih menjadi pertanyaan pertama baginda? Jawapannya kerana melalui guru-guru yang masih hidup itulah Jepun berpeluang bangkit dengan pantas untuk membina semula tamadun yang telah hancur lebur itu.

Kata Hirohito: “Melalui kerja keras kita, terutama guru-guru, saya yakin Jepun akan bangkit kembali, bahkan lebih hebat daripada kemampuan kita sebelum perang terjadi.”

Seandainya penulis seorang guru, air mata me­nunggu masa untuk mengalir di pipi saat pertama kali mendengar atau terbaca kisah epik tersebut. Bukan pekerjaan lain tidak penting, namun setiap pakar dalam segala bidang di dunia ini tidak terus dilahirkan sebagai pakar, sebaliknya, ada guru yang mencorakkan mereka menjadi intan atau arang.

Sejak beberapa hari lalu, profesion perguruan menjadi buah mulut ramai menerusi kisah seorang guru lelaki bernama Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44. Azizan yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada pukul 7 pagi, 6 April lalu.

Akibat satu laporan polis yang dibuat keluarga pelajar terbabit, Azizan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Kelmarin, Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan daripada pertuduhan tersebut.

Dari satu segi, teriakan ‘terima kasih’ dan tangisan syukur Azizan sebenarnya bukanlah kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak, bukan juga penentuan siapa salah atau siapa yang betul sebaliknya satu semangat baharu buat semua guru mahupun ibu bapa.

Seperti ungkapan ‘tiada dendam’ yang disebut Azizan sebaik dilepaskan, saya juga percaya tindakannya menampar pelajar yang dikatakan menghidu gam itu dilakukan tanpa sebab peribadi.

Sebelum Azizan dibebaskan, mesej, doa dan tanda pagar #pray4Azizan bertebaran dalam grup-grup WhatsApp. Keluarga pelajar terbabit juga berdepan dengan kata-kata yang tidak baik. Ada juga yang mula bertekad, jika Azizan kalah, marilah kita masuk kelas dan mengajar seperti biasa. Hujung bulan dapat gaji. Pelajar gagal itu bukan urusan guru.

Apa pun, anggaplah kes Azizan ini sebagai suatu iktibar bersama. Sebagai ibu bapa, tiada yang mahu anak-anak mendapat kecederaan di sekolah, sebagai guru, kejayaan setiap murid adalah markah penuh pada borang penilaian akhir tahun.