Fenomena itu menyebabkan sebilangan pihak menuduh China seolah-olah cuba membentuk kolonialisme baharu di Afrika. Malah, ada yang menggelarkan Afrika bakal menjadi negara China kedua.

Hakikatnya, pelaburan China mula ketara selepas Presiden China, Xi Jinping melancarkan Inisiatif Jalur dan Laluan atau Belt and Road Initiative (BRI) pada September 2013.

Projek itu bakal menyambung laluan di 65 buah negara dari Asia, Eropah dan Afrika. BRI dilengkapi pula dengan Jalur Sutera Mari­tim yang menyambung China ke Asia Tenggara, Negara Teluk, Afrika Utara dan Eropah.

China pada tahun 2014 me­ngumumkan pelaburan AS$40 bilion (RM165 bilion) dalam beberapa projek utama sebagai permulaan di negara terlibat.

Keadaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi khususnya apabila beberapa negara miskin yang terlibat dilihat tidak mampu membiayai projek tersebut sekali gus menyebabkan mereka terperangkap dengan hutang.

Dilaporkan lapan daripada negara yang bermasalah dalam BRI ialah Djibouti, Kyrgyzstan, Laos, Maldives, Mongolia, Montenegro, Pakistan dan Taji­kistan.

Keadaan turut menimbulkan tuduhan terhadap China yang didakwa sengaja menjadikan hutang sebagai perangkap untuk menguasai ekonomi negara-negara berkenaan.

Tanggapan negatif itu diburukkan lagi apabila Sri Lanka dilaporkan terpaksa menyerahkan 70 peratus saham dan 99 tahun pajakan pelabuhan Hambantota kepada China tahun lalu selepas gagal menguruskan hutang sebanyak AS$8 bilion (RM33 bilion).

Terbaharu, Djibouti pula didakwa sengaja masuk ke ‘pe­rangkap’ hutang China apabila memulakan kerjasama membina Lapangan Terbang Antarabangsa Bebas Cukai bernilai AS$3.5 bilion (RM14.5 bilion) yang diharapkan dapat membuka ribuan pekerjaan baharu pada Julai lalu.

Projek itu sekali gus membimbangkan Amerika Syarikat yang mempunyai pangkalan tentera dengan 4,000 anggota di negara tersebut kerana Beijing juga te­lah membuka pangkalan tentera pertama luar China di Djibouti.

Sebenarnya penglibatan China dalam pembangunan di Afrika bukan suatu yang asing, syarikat milik China telah membina janakuasa hidroelektrik di Zambia.

“Ia bukan projek yang sia-sia apabila kita dapat membina jalan dan memberikan kemudahan kepada rakyat. Penduduk kampung kini boleh menonton televisyen disebabkan projek usahasama dengan China,” kata Menteri Komunikasi Zambia, Dora Siliya.

Sementara Nigeria memutuskan menjadikan yuan sebagai salah satu mata wang rizab negara selepas bertahun-tahun berdepan kejatuhan nilai mata wang berbanding dolar ekoran kemerosotan harga minyak dunia sejak 2015.

Selain itu, China telah lama mengembangkan pelaburan di Zimbabwe, Ghana dan Kenya khususnya dalam membina infrastruktur pengangkutan kereta api dan sebagainya.

Dalam pada itu, Jinping ter­nyata tidak mempeduli tuduhan terhadap China apabila berjanji menyediakan pelaburan AS$60 bilion (RM248 bilion) kepada negara Afrika semasa Forum Kerjasama China-Afrika di Beijing, 6 September lalu.

“Ia bukan satu perangkap hutang tetapi sebagai salah satu inisiatif bagi membantu negara Afrika menangani kemiskinan,” kata beliau.

Apa pun yang diperkatakan, China sebagai sebuah negara yang memiliki 819 bilionair dan lebih 1.6 juta penduduk bertaraf jutawan tidak lagi mampu disekat untuk membelanjakan wang mereka bagi pelaburan di di seluruh pelusuk dunia.

Jika dahulu tiada siapa mempeduli negara-negara di Afrika yang tandus, senario politik yang tidak stabil serta penuh dengan pergolakan, namun China menjadikan negara-negara tersebut sebagai medan untuk meraih keuntungan.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam kancah persepsi melibatkan projek kerjasama dengan negara China khususnya bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Laju (HSR).

Apa pun yang diperkatakan, kita serah sahaja kepada orang politik untuk menentukannya. Untung sabut timbul untung batu tenggelam.