Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, sebanyak sembilan lagi kes dikesan di kawasan rumah kedai tersebut menjadikan jumlah pesakit di situ seramai 28 orang.

"Kes turut meningkat di lokaliti baharu di Simpang Kuala apabila tiga lagi kes dikesan menjadikan jumlah pesakit seramai tujuh orang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, keadaan semua pesakit adalah stabil.

"Walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak ini, siasatan menunjukkan bahawa semua kes terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tempoh onset (wabak bermula)," ujarnya.

Tambahnya, aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula pada kelmarin diteruskan pada semalam.

"Sebanyak 71 premis telah diperiksa di sekitar Simpang Kuala dan lapan kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM4,000 kepada pemilik premis yang membiak aedes," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan lokaliti baharu penyakit chikungunya iaitu di Simpang Kuala di sini dengan empat individu disahkan positif penyakit itu. - K! ONLINE