Namun, sikap suka berusaha sendiri untuk mencari pendapatan tambahan membuatkan semangat wanita warga emas berkenaan tetap tidak luntur.

Che Munah yang tidak mempunyai zuriat adalah merupakan penerima Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dengan kesukaran bergerak dia bersimpuh di kaki lima Pasar Besar Puteh, di sini, sebagai penjual asam gelugur walaupun dalam keadaan terhoyong-hayang dan terketar-ketar untuk berjalan hingga mendatangkan simpati pada mata yang melihat.

Lebih memeritkan, penglihatannya saban hari semakin kabur namun masih sanggup berulang-alik dari rumahnya ke pusat bandar ini sejauh 40 kilometer, dua kali seminggu. 

Che Munah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, di sini berkata, pendapatan bersih hasil jualannya seharian hanyalah RM20 dengan modal RM150. 

“Saya dihantar oleh suami, Abdullah Jusoh, 64, ke pasar berkenaan dan lazimnya menumpang orang ramai untuk pulang ke rumah. Bekalan asam gelugur keping itu dibeli oleh suami dalam bungkusan besar di Pasar Jelawat, Bachok yang kemudiannya dibungkus semula dan dijual dengan harga RM5 sepeket.

"Untungnya tidak seberapa. Makcik tidak nafikan terima bantuan JKM dan bantuan RM200 daripada anak saudara. Bagaimanapun, adakalanya kami kehabisan wang dan terputus bekalan makanan," katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Che Munah berkata, wang bantuan itu digunakan untuk membeli makanan dan membayar bil eletrik dan air selain digunakan untuk rawatan sakit tua. 

Sementara itu, Mat Dollah berkata, sebelum ini isterinya tidak pernah meminta ihsan simpati orang ramai kerana sumbangan sejumlah itu cukup untuk berbelanja sebulan. 

"Dia meminta belas ihsan seorang pembeli pada ketika itu kerana kami sebenarnya terputus bekalan makanan terutama beras. Sepanjang musim hujan ini saya tidak ada sumber pendapatan. 

“Sekadar sebagai buruh binaan rumah dan sekarang peluang untuk bekerja amat berkurangan apabila orang ramai menggunakan tukang rumah warga asing serta yang lebih muda.

"Kami tetap bersyukur kerana masih memiliki rumah tempat berteduh hasil sumbangan pembinaan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) bernilai RM10,000 kira-kira tujuh tahun lalu," katanya. 

Mat Dollah berkata, rumah itu dibina di atas tanah milik arwah mertua isterinya yang terdahulu bersama tujuh orang anak yang masing-masing memilih haluan hidup sendiri. 

"Saya bernikah dengan Che Munah sejak lima tahun lalu selepas isteri pertama meninggal dunia. Kini kami tinggal tiga beranak bersama anak bongsu (anak tiri Che Munah), Mohd. Rusli, 14, yang bekerja di kilang keropok Kuala Besut. - K! ONLINE