Menyifatkan tuduhan Charles itu sebagai dangkal, Ketua Armada Bersatu Lumut, Akmal Maradzi menganggap tindakan pemimpin DAP itu tidak bertanggungjawab yang mana beliau bukan sahaja gagal memahami tatacara pentadbiran tetapi juga cuba mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH). 

”Armada Bersatu Lumut melihat tindakan Charles ini sebagai amat biadab dan tidak mengetahui hal pentadbiran kerajaan. Sedangkan setiap keputusan dibuat hendaklah melalui Kabinet dan Majlis Pimpinan Presiden (MPP) PH," katanya selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersatu Bahagian Lumut di Seri Manjung, hari ini.

Pada masa sama, beliau juga menempelak Charles dengan mempersoalkan Ahli Parlimen Klang itu mengapa tidak merujuk dahulu dengan pimpinan DAP sebelum melontarkan tuduhan yang tidak berasas tersebut.

"Apakah dia (Charles) amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasminya.

"Isu tulisan jawi dan khat ini diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang mana ada angotanya adalah daripada parti DAP. Apakah kerana sikap rasis, beliau cuba menutup fakta itu," soal Akmal lagi.

Pada masa sama, Akmal turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Charles itu yang seolah-olah bermotifkan politik dengan menghasut rakyat khususnya bukan untuk menolak usaha kerajaan melaksanakan tulisan Jawi dan seni khat di sekolah. - K! ONLINE