Difahamkan, suspek berusia 39 tahun itu ditemui selepas menyembunyikan diri di dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo sebelum dia disedari oleh juruteknik yang melihatnya keluar daripada persembunyian kira-kira pukul 10 pagi.

Suspek dikatakan mahu pulang ke kampung halamannya di Medan, Indonesia dengan cara 'menumpang' kapal terbang secara haram kerana tidak mempunyai wang mencukupi.

Menurut sumber, suspek didakwa menceroboh masuk melalui pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut dan berjalan menuju ke pesawat yang diparkir kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah pusat memproses ayam di negeri ini sejak sembilan bulan lalu.

"Dia mendakwa tidak dibayar gaji oleh majikan sejak dua bulan lalu dan mahu pulang ke Indonesia, namun siasatan lanjut terhadap suspek masih dilakukan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Deputi Superintendan Jafri Md. Zain ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut  Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan.