Beliau berkata, sebagai rakyat di negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama, seseorang individu itu seharusnya perlu lebih sensitif sebelum menuturkan kata-kata dan melakukan sebarang tindak-tanduk supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.

“Pada zahirnya kondisi keamanan negara ini masih terpelihara dengan baik secara umumnya. 

“Bagaimanapun kita tidak boleh ambil mudah dan tidak boleh mengambil sikap yang selesa dalam hal ehwal keamanan,” katanya.

Beliau bimbang dengan beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan isu berbaur perkauman dan meningkatkan lagi ketegangan hubungan antara kaum di Malaysia.

Wan Salim menasihati rakyat Malaysia terutama para pemimpin agar lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengundang kepada perpecahan kaum, sebaliknya lebih fokus kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

“Saya berharap sangat-sangat (para pemimpin) jangan timbulkan tindakan provokatif. Kurangkanlah demonstrasi sebaliknya kita galakkan rakyat supaya fokus dalam usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya lagi, isu ketuanan Melayu tidak akan menjadi punca kepada isu perkauman di negara ini sekiranya rakyat memahami istilah itu dan tidak menyalahgunakannya.

“Ketuanan Melayu tidak ada masalah bagi saya kerana majoriti rakyat yang datang ke negara ini mereka faham bahawa orang Melayu adalah penduduk asal walaupun ada segelintir yang mempertikaikannya. Mereka pun sudah sekian lama di negara ini, sudah bergenerasi.

“Dunia kini telah berubah, bukan di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia. Negara luar yang lain juga sudah tidak terdiri daripada satu bangsa sahaja. 

“Kita harus akur dengan realiti ini dan perlu lebih terbuka, sebab itu lebih baik kita belajar untuk hidup bersama dan saling menghormati dan memahami,” katanya. - Bernama