Sebelum sambutan hari raya, jalan raya dan lebuh raya menuju ke kampung halaman sesak dengan ken­deraan. Selepas hari raya pertama, jalan raya dan lebuh raya kembali dipenuhi kenderaan. Ke­sesakan teruk itu menyebabkan seorang rakan penulis memberitahu dalam grup WhatsApp bahawa Aidilfitri hanya sekali sahaja setahun. Me­sejnya ialah pengguna jalan raya perlu bersabar kerana suasana itu hanya berlaku sekali dalam setahun.

Seorang lagi sahabat penulis memberitahu jika Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap nanti, mungkin ia dapat mengurangkan ke­sesakan di lebuh raya dan jalan raya semasa musim balik kampung untuk menyambut hari raya di Kelantan.

Pendek kata, ketika ini suasana kesesakan teruk di lebuh raya sempena hari raya sudah menjadi kebiasaan, tidak lagi menjadi berita luar biasa. Penulis berpendapat kesesakan akan menjadi lebih teruk di Semenanjung Malaysia jika tol percuma seperti dijanjikan dilaksanakan pada musim balik kampung.

Suasana di ibu kota Kuala Lumpur pula lengang pada malam raya sehingga Ahad lalu.

Kedai-kedai pun ditutup kerana ramainya warga kota yang beragama Islam balik kampung.

Hanya gedung beli-belah yang besar-besar dibuka. Bagi yang beraya di Lembah Klang, tradisi kunjung-­mengunjung saudara-mara masih dikekalkan pada hari raya pertama. Walaupun le­ngang, tetapi keseronokan ketika bertemu sanak saudara tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit.

Seorang lagi rakan se­kerja penulis yang tinggal di ­Puchong, Selangor memandu dengan lancar pada malam raya di rumah ibunya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur sebelum menempuh ke­sesakan jalan raya yang te­ruk ketika dalam perjalanan pulang ke kampung isterinya di Bagan Datuk, Perak.

Itulah hari Lebaran. Hari yang bukan sahaja meraikan kemenangan berpuasa dalam bulan Ramadan tetapi juga hari yang menyatukan mo­yang, datuk, nenek ibu, bapa, abang, adik, menantu, cucu, cicit, sepupu, anak saudara dan rakan-rakan.

Kemeriahan dapat dirasakan oleh ibu bapa yang mempunyai anak ramai. Riuh rendah rumah kayu dan batu di kampung dipenuhi dengan menantu serta cucu.

Pelbagai cerita dikongsikan bersama. Antaranya ialah kisah di pejabat, bila hendak menamatkan zaman bujang, beli rumah baharu, ranca­ngan selepas tamat belajar, bisnes, politik, sukan, kereta, lemang dan redang yang pa­ling sedap.

Bagi kanak-kanak, mereka mempunyai cerita tersendiri seperti duit raya dan permainan video menerusi te­lefon bimbit.

Semua cerita itu dikongsikan sebagai cara untuk mengeratkan silaturahim. Ibu saudara penulis berusia 83 tahun yang patah tulang akibat kemalangan motosikal dari paras bawah lutut beberapa hari sebelum Aidilfitri pula tidak berasa sedih ketika menerima tetamu yang melawatnya pada hari raya.

Seorang bapa saudara penulis yang tinggal di Puchong pula meraikan Aidilfitri di rumah baharu di kampungnya di Kuala Kangsar. Tahun lalu, se­perti sebahagian rakyat Malaysia lain, dia sanggup menyewa sebuah inap desa untuk beraya bersama sanak saudara.

Selepas kembali ke ibu kota pula, rakan-rakan penulis termasuk dalam grup Whats­App bercerita tentang satu isu ‘panas’ sehingga pihak polis membuka kertas siasatan berhubung kes yang dikaitkan dengan seorang menteri. Biarlah pihak berkuasa me­lakukan siasatan bagi menyelesaikan isu tersebut sehingga selesai.

Pada bulan mulia ini, sama-samalah kita menghulurkan kemaafan dan mencari penyelesaian dalam apa jua isu termasuk pergaduhan dalam adik-beradik. Aidilfitri bukannya tentang pakaian atau ka­sut, tas tangan dan kereta baharu tetapi lebih daripada itu. Tidak kira siapalah anda sama ada miskin atau kaya tetapi kejayaan berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan perlu diraikan. Namun, dalam ke­gembiraan, jangan pula lupa untuk berpuasa sunat enam dalam bulan Syawal.