Tidak sabar menunggu kedatangan orang baharu tetapi perasaan berdebar tetap dirasa walaupun ia bukan pengalaman pertama. Apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh ini.

Kelmarin, penulis sekeluarga terpaksa menanti penuh debar selama kira-kira empat jam apabila isteri adik bongsu terpaksa menjalani pembedahan kecemasan ketika hendak melahirkan anak sulungnya.

Syukur, prosesnya berjalan lancar apabila kami dibe­ritakan khabar gembira dengan kelahiran seorang pu­teri seberat 3.22 kilogram.

Biarpun tidak dapat dilahirkan secara normal namun kami percaya keputusan yang dibuat oleh pakar per­ubatan selepas memantau keadaan ibu dan bayi dalam kandungan ialah jalan terbaik untuk kedua-duanya.

Bagaimanapun, dalam rasa teruja dan sedikit gusar menerima kelahiran orang baharu, penulis turut bimbang dengan trend semasa terutamanya melibatkan ibu bapa yang sengaja tidak mahu anak mereka menerima suntikan vaksin.

Bukan sahaja kerana kasihankan nasib kanak-kanak tersebut tetapi penulis bimbang dengan persekitaran tidak sihat yang terpaksa dilalui keluarga sendiri ketika anak-anak bercampur dengan mereka yang tidak divaksinkan.

Biarpun telah mendapat imunisasi, mereka masih terdedah kepada risiko jangkitan ketika berada bersama-sama kanak-kanak yang tidak menerima vaksin seperti di pusat jagaan dan sekolah ataupun di tempat-tempat terbuka seperti kedai makan atau pusat beli-belah.

Tahun lalu, lima kematian direkodkan akibat difteria. Salah seorang mangsa ialah kanak-kanak yang telah divaksinkan dan dipercayai terdedah kepada difteria ke­rana berada di persekitaran sama dengan kanak-kanak lebih berisiko iaitu mereka yang tidak divaksinkan.

Tahun ini, seorang kanak-kanak berusia dua tahun disahkan meninggal dunia akibat difteria. Siasatan awal mendapati mangsa tidak pernah diberikan suntikan imu­nisasi. Memandangkan ramai lagi ibu bapa yang tidak memberikan perlindungan kepada anak-anak, jumlah mangsa mungkin bertambah.

Menurut Kementerian Kesihatan, difteria merupakan penyakit yang disebabkan jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae.

Ia menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku jangkitan darah dan jantung sehingga menyebabkan kegagalan organ yang seterusnya boleh membawa maut.

Sebagai langkah pencegahan, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun bagi menyediakan vaksin secara percuma kepada rakyat negara ini namun sayangnya ada segelintir ibu bapa yang menolaknya.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan ibu bapa yang mengambil tindakan tidak mahu memberi vaksin kepada anak-anak terdiri daripada golongan terpelajar yang terpengaruh dengan dakyah kurang tepat yang disebarkan terutamanya melalui media sosial.

Akhirnya anak-anak menjadi mangsa biarpun penulis yakin kebanyakan ibu bapa yang berbuat demikian sebenarnya telah dipastikan menerima suntikan imunisasi lengkap oleh orang tua mereka ketika kecil.

Harapan penulis semoga kerajaan dapat mengambil tindakan tegas tidak sekadar dalam bentuk cadang­an atau kajian sahaja untuk memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat hak untuk menikmati kehidupan sihat.