Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang juga sebahagian daripada pasukan lima anggota itu berkata, ia akan diumumkan Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin. 

"Tetapi saya tidak tahu berapa lama tempohnya," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat harian majlis berkenaan di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada majlis itu akan membuat pengumuman mengenai mekanisme untuk mengawal harga barangan selepas pelaksanaan sifar GST. 

Penetapan GST pada kadar sifar berkuat kuasa mulai 1 Jun, bagaimanapun terdapat laporan di media sosial bahawa harga barang menjadi lebih mahal ataupun harganya sama seperti kadar GST ketika enam peratus.

Zeti yang juga bekas Gabenor Bank Negara menjelaskan bahawa Daim juga akan mengumumkan cadangan majlis mengenai beberapa perkara lain. - Bernama