Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, projek antarabangsa pertama oleh syarikat terkemuka Thailand, Central Pattana Public Company Limited (CPN) akan memberikan impak dalam pembentukkan kawasan 'Segitiga Emas' seperti di Kuala Lumpur.

Katanya, pada masa sama menambah nilai pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan menyediakan kemudahan seperti perumahan serta lot komersial.

"Ini menjadikan Shah Alam sebagai ibu negeri yang lebih bertenaga dan interaktif kepada semua kelompok masyarakat.

"Kita memang bersikap pro industri dan pro komuniti perniagaan dengan semua polisi menerusi tadbir urus yang baik akan mempermudahkan lagi pelaburan di kawasan Segitiga Emas," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pusat beli-belah itu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pusat beli belah enam tingkat berkenaan yang menjadi mercu tanda baharu bandar raya ini.

Turut berangkat hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CPN Thailand, Preecha Ekkunagul menjelaskan, pembukaan pusat beli-belah itu bagi memberikan dimensi baharu dalam gaya hidup dan destinasi beli belah kepada penduduk negeri ini terutama di Shah Alam dan Klang.

"Kami yakin Central i-City memainkan peranan penting bagi visi jangka masa panjang kerajaan negeri untuk menjadikan i-City sebagai kawasan Segitiga Emas selain pemangkin pertumbuhan ekonomi dan inovasi di negeri ini," katanya. - K! ONLINE