Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan semua jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan selamat.
“Semasa kejadian ribut dan hujan tersebut, pihak bomba telah mengarahkan bekalan elektrik ditutup bagi menjaga keselamatan para jemaah haji yang berada di Padang Arafah.
“Pemeriksaan menyeluruh telah dilaksanakan di setiap maktab dan terdapat beberapa khemah jemaah haji Malaysia mengalami kerosakan dan kini dalam proses baik pulih oleh pihak Muassasah Asia Tenggara,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Menurutnya, bekalan elektrik disambung semula secara berperingkat mulai pukul 10.45 malam.
Tambahnya, waris dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Padang Arafah.
Sementara itu, seorang petugas haji Malaysia, Maslina Alias, menerusi laman Facebooknya berkata, angin kencang itu mengakibatkan bekalan elektrik terganggu di seluruh kawasan perkhemahan jemaah haji di Padang Arafah.