Dakwaan itu pula datangnya daripada bukan calang-calang orang, sebaliknya oleh Presiden Persa­tuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Idris mengarahkan pengurusan MUSA melakukan siasatan kemungkinan berlaku pengaturan perlawanan membabitkan pemain pasukan itu susulan kekalahan teruk skuad Sang Kancil 1-4 pada aksi ke­dua Liga Super menentang Selangor di Stadium Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Dakwaan itu sudah tentu sedikit sebanyak ada kebenarannya kerana yang mengutarakan hal tersebut merupakan pemimpin tertinggi dalam MUSA.

Meskipun ramai yang sinis dengan dakwaan tersebut memandangkan Liga M baru memasuki perlawanan kedua dan ia bukan sesuatu yang pelik untuk kalah teruk sedemikian, namun pada penulis, mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Sebelum menjadi barah, lebih baik sediakan payung sebelum hujan kerana jika benar-benar berlakunya skandal pengaturan perlawanan, sudah pasti ia akan menyerang jantung sukan popular tanah air itu.

Bukan setakat itu sahaja, pengaturan perlawanan akan menyebabkan nilai persaingan, imej dan integriti pemain hancur punah dan jahanam.

Dari sudut lain, para peminat pula seolah-olah di­khianati oleh ketidakjujuran dan pastinya mereka mula hilang kepercayaan, sekali gus menanam bibit skeptis terhadap saingan itu sama ada ia harus dihormati atau sebaliknya.

Tidak dinafikan, pengaturan perlawanan seme­mang­nya menjijikkan, bahkan seluruh warga sukan dan peminat bersetuju mengenai perkara tersebut kerana pada akhirnya ia akan mengakibatkan hubu­ngan antara pasukan dan penyokong berantakan.

Dalam sukan yang tersusun atur seperti bola sepak, skandal pengaturan perlawanan berlaku apabila ke­putusan pada penghujung permainan sebenarnya telah ditentukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan melanggar etika, peraturan dan undang-undang sukan terbabit. 

Sebab musabab pengaturan perlawanan lazimnya disebabkan imbuhan wang ringgit daripada pihak yang melakukan pertaruhan selain pemain itu sendiri dengan sengaja beraksi teruk sama ada untuk mendapatkan laluan mudah pada peringkat seterusnya mahupun mendapatkan masa depan lebih baik dalam kariernya.

Mengulas hal ini, Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya menyifatkan skandal umpama itu akan menyebabkan bola sepak negara kembali ke zaman gelap Liga Malaysia pada pertengahan era 90-an.

Menurut Rezal, jika benar perkara itu berlaku, ia sesuatu yang menyedihkan tatkala negara ini sedang berusaha keras untuk menaikkan taraf liga bola sepak tanah air.

“Mengenai dakwaan pihak MUSA, kami berharap persatuan tersebut dapat menjalankan siasatan terperinci dan jika wujud bukti yang menyatakan ada pemain terlibat dengan skandal mengatur perlawanan, kami menggesa agar pemain tersebut diserahkan segera kepada pihak berkuasa.

“Pengaturan perlawanan sememangnya akan memberi kesan kepada kemeriahan Liga M. Aspek integriti liga akan menjunam dan secara tidak langsung akan menjatuhkan imej bola sepak negara,” katanya.