Baginda bertitah, cef disaran supaya mengumpul pelbagai resepi tradisional turun temurun rakyat di negara ini untuk dipromosikan, selain memastikan resepi itu tidak dilupakan terutamanya oleh generasi masa kini.

"Setiap negeri mempunyai pelbagai jenis makanan istimewa terutama hidangan tradisional yang mencerminkan identiti serta keunikan tersendiri... Kita pernah didatangi penjajah termasuk Inggeris, Belanda dan Portugis menyebabkan masakan kita menjadi fusion namun masih mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Ini dapat  merancakkan pembangunan industri pelancongan selain menarik lebih ramai pelancong ke negara ini. Orang (pelancong) kalau berkunjung ke Malaysia nak makan (makanan tradisi) seperti tempoyak dan asam pedas, jadi Malaysia ada semuanya," titah baginda pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Aminah berkenan merasmikan Kelab Chef Melaka (MCC) di Melaka Raya di sini yang mana baginda merupakan penaung kelab tersebut.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Presiden MCC, Rizwandy Perin. - Bernama