Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun sedang menunggu ibunya ketika didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Suspek kemudian meminta duit dan barang berharga daripada mangsa.

“Dia kemudian telah menyerang mangsa dengan memukulnya menggunakan helmet serta menghayun parang ke arah mangsa sehingga menyebabkannya kecederaan di kakinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Mohamed Mokhsein menambah, mangsa telah menjalani rawatan sebagai pesakit luar manakala ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Barangan mangsa yang telah disamun adalah sekeping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), lesen memandu, wang tunai berjumlah RM70 dan satu set kunci motosikal.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Saksi kejadian yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut diminta untuk menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor M.Satish di talian 012-6273 330. - K! ONLINE