Cerita wanita berusia 80 tahun itu meruntun hati netizen selepas gambarnya duduk bersimpuh menjual asam keping di sebuah pasar di negeri itu dikongsi oleh seorang pengguna laman Facebook.

Pada usia yang menghampiri satu abad, Che Munah terpaksa berulang alik dari rumahnya ke pasar tempat dia berniaga yang jaraknya 40 kilometer sehala atau 30 minit masa perjalanan menaiki kereta.

Dia pergi ke pasar itu de­ngan dihantar oleh suaminya, Mat Dollah Jusoh, 70, yang dikahwini lima tahun lalu. Ada ketikanya Che Munah bernasib baik apabila ada penduduk yang menumpangkan dia pulang dengan kenderaan mereka. Che Munah yang tidak dikurniakan anak bukan cergas lagi, penglihatannya juga kabur. Untung menjual asam keping yang diperoleh juga tidak seberapa.

Namun, itu semua tidak menjadi halangan buat wanita dari Kampung Banggol Pak Esah ini keluar mencari rezeki untuk menambah pendapatan suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Bercerita mengenai warga emas, penulis teringat satu lagi kisah seorang wanita bernama Soo Xiu Keng yang penulis temu bual untuk satu artikel rencana semasa bertugas di Melaka pada tahun lalu.

Sama seperti Che Munah, Xiu Keng yang berusia 82 tahun masih bekerja sebagai tukang gunting rambut di kawasan tumpuan pelancong, Jonker Walk.

Walaupun perniagaannya tidak serancak dahulu sebelum kemunculan kedai-kedai gun­ting rambut atau salon moden, Xiu Keng tidak pernah berputus asa malah tak pernah terlintas di hatinya untuk menutup operasi selepas lima dekad menjalankan perusahaan tersebut.

Premisnya dibuka pada setiap hari walaupun kadangkala tiada pe­langgan.

“Selagi ada kudrat dan pe­langgan, premis ini akan beroperasi setiap hari pada pukul 9.30 pagi hingga 6 petang,” katanya yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak.

Apa yang penulis tertarik dengan persamaan kedua-dua warga emas ini ialah sikap positif mereka berusaha sendiri walaupun kemampuan masing-masing terbatas.

Memetik mutiara kata, kekuatan tidak datang daripada kemampuan fizikal tetapi datang daripada semangat yang tidak pernah mengalah.

Walaupun usia telah lanjut, kedua-duanya tidak mengeluh atau merungut dengan nasib masing-masing sebaliknya te­rus positif menjalani hari-hari yang mendatang.

Ia berbeza dengan segelintir masyarakat terutama golo­­­­­ng­an muda hari ini yang gemar goyang kaki dan mengadu nasib susah dalam laman sosial tanpa sebarang usaha untuk berubah.

Sikap begitu sepatut­nya dibuang jauh-jauh. 
Penulis tidak nafikan, kos sara hidup terutama di kawasan bandar sangat tinggi, malah ada teman-teman penulis yang melakukan lebih daripada satu kerja untuk mencari ‘duit tepi’ walaupun pendapatan mereka mencukupi.

Inisiatif mereka itu wajar dipuji. Bagi yang tidak mempu­nyai skil memasak atau me­nebar roti canai, cari duit poket dengan menyertai perkhidmatan e-hailing atau Grab misalnya tidak memerlukan modal yang besar selain berniaga online secara kecil-kecilan. Asalkan anda berusaha rezeki pasti ada.

Kewujudan media sosial se­perti Facebook dan Instagram seharusnya digunakan dengan cara betul ke arah kebaikan bukannya sebagai medium untuk meraih perhatian, lebih teruk lagi menyalahkan pihak lain atas sikap sendiri yang malas.

Penulis percaya sekiranya kita berusaha, kita akan dapat mencapai yang kita hajati.

Semua agama mengajar pengikutnya untuk berusaha. Usaha yang kecil sekiranya dilakukan secara berterusan pasti akan membuahkan hasil.

Pepatah Arab ada mengatakan, jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu melakukan sesuatu, anda akan cari alasan.

Dengan kudrat yang ada, apa lagi alasan kita untuk tidak berusaha? Berhentilah mengeluh atas apa yang berlaku sebaliknya bangkit menggapai apa yang kita idamkan.

Tanamkan tekad pada tahun 2019 sekurang-kurangnya untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding semalam. 

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.