Pernah menonton filem animasi Zootopia? Ia mengisahkan tentang arnab bernama Judy yang bercita-cita untuk menjadi polis yang hebat. Penulis cukup tertarik dengan jalan cerita filem berkenaan. Selain menghiburkan, mesej yang terkandung di dalamnya juga bagus diambil iktibar.

Salah satu nilai yang diangkat dalam filem ber­kenaan adalah mengenai prasangka terhadap orang lain. Meskipun disebut para binatang itu sudah berevolusi, namun masih terdapat ‘sisa’ prasangka terhadap haiwan lain. Keluarga Judy misalnya, meminta Judy berhati-hati dengan musang kerana dalam benak mereka musang adalah makhluk yang sering berniat jahat.

Tema prasangka terus dikembangkan dan akhirnya terungkai kenyataan bahawa baik dan buruknya seseorang bergantung kepada sikap dalaman iaitu hatinya, bukannya keperibadian yang nampak jahat, baik, mesra mahupun alim.

Banyak sebenarnya filem yang menerapkan mesej positif. Tinggal lagi kita sebagai penonton mahu mengambil ia sebagai mesej dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian atau sekadar menontonnya untuk hiburan semata-mata.

Contoh lain yang boleh kita kaitkan adalah filem Hantu Kak Limah yang berjaya menerima kutipan pecah panggung sebanyak RM38 juta.

Ada satu adegan yang menarik perhatian penulis, iaitu ketika Wani cuba menutupi giginya yang rongak. Padahal, dia boleh pula ke­tawa mengekek tatkala Yeh Sekupang menegur Husin yang tidak bergigi.

Menerusi adegan tersebut pengarahnya, Mamat Khalid cuba mengkritik sikap kebanyakan orang Melayu yang suka membesar-besarkan aib orang lain, tetapi cuba menyorok kelemahan diri sendiri.

Pakar motivasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad dalam sebuah artikel juga pernah menyatakan, kualiti hidup kita ini bergantung kepada emosi kita iaitu sama ada bersangka baik atau berprasangka (beranggapan buruk terhadap sesuatu, suasana atau seseorang tanpa menyelidik akan hal yang sebenar).

Sebab itulah betapa pen­tingnya suara hati kita yang positif. Iaitu, suara hati kita yang mengatakan, semua­nya baik, Allah Maha Baik dan semua orang baik.

Bahkan, beberapa penelitian ilmiah juga sudah membuktikan bahawa berfikir positif dapat memberikan dampak baik pada seseorang. Seperti lebih percaya diri, memperbaiki suasana hati, hingga mengurangi risiko stres, murung, ketakutan, tidak tenteram, gelisah dan tidak bahagia.

Sebab itulah dalam bait-bait lirik lagu Dewa iaitu Laskar Cinta juga menyebut, ‘Wahai jiwa-jiwa yang tenang. Berhatilah dirimu kepada hati-hati yang penuh dengan kebencian yang dalam. Kerana, sesungguhnya iblis ada dan bersemayam. Di hati yang penuh dengan benci. Di hati yang penuh dengan prasangka’.

Lirik lagu daripada kumpulan Dewa itu juga hadir dengan kosa kata indah yang meminta kita menyebarkan benih-benih cinta. Sebaliknya, musnahkanlah virus-virus benci. Virus yang bisa merosakkan jiwa dan busukkan hati.

Bukan itu sahaja, firman Allah juga menyebut: “Wahai orang yang beriman. Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang serta janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Akhir kata, sebarkanlah kasih sayang dan jadilah manusia empati yang mempunyai daya untuk menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Bukannya bersikap menghakimi tanpa usul periksa!