Tidak kurang juga yang memuat naik pencapaian harian mereka di Instagram dan Facebook seperti berapa jauh berlari, jumlah langkah dan kalori yang dibakar. Walaupun kelihatan letih, mereka ternyata teruja dengan pencapaian masing-masing terutama dalam mengamalkan gaya hidup sihat selain ada yang ingin menguruskan badan.

Tahniah penulis ucapkan. Teruskan aktiviti tersebut dan lakukan secara konsisten. Pada masa sama, amalan bersenam secara sistematik boleh mengurangkan kebarangkalian menghidap penyakit jantung dan penyakit lain.

Ia diakui Pengarah Pusat Pemulihan Kardiak Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), Dr. Margherita Vona yang mendedahkan, satu kajian yang dijalankan di negara itu mendapati masyarakat tempatan berjaya menjalani kehidupan lebih sihat dan membaiki aliran darah dengan mempraktikkan apa jua jenis senaman.

Bagaimanapun, dalam keghairahan melakukan aktiviti tersebut ingin penulis ingatkan bahawa larian atau mendaki bukit adalah termasuk dalam sukan lasak. Justeru, kita tidak terlepas daripada kecederaan sekiranya melakukan tanpa bimbingan mereka yang berpengalaman seperti pakar kecergasan ataupun ahli fisioterapi.

Ini kerana, kita mudah terdedah pada masalah kecederaan otot dan ligamen ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Sebagai peringatan, mereka yang profesional seperti jaguh maraton wanita Britain, Paula Radcliffe terpaksa menamatkan kariernya pada 2015 tanpa sebarang gelaran di pentas Olimpik berikutan kecederaan kaki. Malah, jaguh pecut dunia, Usain Bolt tidak terlepas daripada kecederaan hamstring yang hampir menjejaskan kariernya.

Sebenarnya, senario mengalami kecederaan itu situasi biasa bagi pelari termasuk yang bertaraf profesional, tidak kira sama ada mereka menyertai acara maraton atau pecut. Menurut kajian, antara 65 hingga 75 peratus pelari mengalami kecederaan setiap tahun.

Penulis juga ingin berkongsi pengalaman sendiri apabila mengalami Iliotibial Band Syndrome (ITBS) apabila menyertai tiga acara la­rian secara berulang dalam tempoh dua minggu. Kesakitan tersebut dialami di sekitar belakang paha menyebabkan sukar untuk berlari. 
Keadaan itu memaksa penulis berehat selama dua bulan. Walaupun masih belum hilang sepenuhnya penulis kini kembali aktif berlari. Sejak itu, penulis mulai mencari punca ITBS dan menerusi internet dan YouTube, kita boleh mendapat jawapan terhadap punca penyakit tersebut.

Keadaan itu berlaku akibat penggunaan berlebihan berpunca daripada biomekanik larian dan faktor luaran yang tidak sesuai termasuk postur badan. ITBS adalah struktur seperti ligamen pada sisi luar paha yang menghubungkan pinggul dengan tulang betis dan apabila berlari, ia akan bergesel di atas permukaan tulang dan membantu menstabilkan pergerakan.

Selain pencarian di internet, penulis turut menyertai klinik la­rian yang dianjurkan oleh Standard Chartered KL Marathon (SCKL) yang diadakan di Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Ternyata, klinik itu memberikan banyak ilmu kepada pelari amatur seperti penulis. Rupa-rupanya amalan senaman yang betul mampu menyembuhkan ITBS.

Klinik larian yang dikendalikan oleh jurulatih, Mark William itu bukan sahaja menumpukan perhatian kepada teknik larian, malah para peserta diajar cara senaman sebelum dan selepas larian. Matlamat klinik larian ini adalah untuk mendidik peserta meliputi pelbagai topik larian daripada latihan sehingga hari larian berlangsung. Selain itu, ia direka untuk membantu para pelari merancang untuk menyertai larian separuh maraton atau maraton pertama mereka.

Ia satu pendedahan berguna kepada para pelari yang berhasrat untuk lebih serius dalam aktiviti berkenaan. Bagi yang sekadar suka-suka atau mengisi masa lapang juga digalakkan untuk menyertai sebarang klinik larian atau kelab larian agar dapat mempertingkatkan teknik dan keberkesanan larian anda.

Diharapkan lebih ramai menyokong dan menyertai aktiviti kecergasan seumpama ini kerana rakyat kita antara tertinggi mengalami penyakit diabetes yang berpunca daripada amalan pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. 

Penulis telah mendaftar untuk menyertai SCKL 2018 bagi jarak 21 kilometer. Justeru, marilah kita berlatih secara teratur semoga impian untuk menamatkan larian dan mencatat masa terbaik tercapai kelak.