GMBAR HIASAN
 

Sebahagian duit belanja biasanya digunakan untuk membeli makanan dan minuman, namun bagi yang bijak me­nguruskan duit belanja ini, mereka juga mampu membeli pelbagai barangan yang diimpikan.

Justeru, tidak mustahil ada antara rakan-rakan anda yang memiliki pelbagai alat tulis menarik atau buku tambahan tanpa mengharap­kan wang tambahan daripada ibu bapa, atau bekerja untuk membeli barangan yang mereka miliki itu.

Apakah agaknya rahsia untuk memiliki wang lebi­­h­an ini? Jawapannya mudah sahaja, iaitu anda perlu bijak menguruskan duit belanja yang diterima dengan menyediakan satu bajet mudah yang boleh anda ikuti setiap hari.

Dalam membangunkan bajet, apa yang penting ialah anda mestilah mempu­nyai wang lebihan untuk dimasukkan ke dalam tabung. Ini bermakna perbelanjaan anda mestilah lebih kecil berban­ding wang belanja (pendapatan) yang diterima daripada ibu bapa anda.

Wang yang ditabung ini apabila sudah penuh kelak atau sekiranya sudah mencapai jumlah yang anda inginkan, bolehlah digunakan untuk membeli barangan yang anda impikan atau lebih baik lagi, dima­sukkan ke dalam bank atau dilaburkan untuk membina tabung pendidikan.

Langkah pertama apabila anda ingin membangunkan bajet adalah anda perlu tahu jumlah yang anda terima setiap hari atau setiap bulan. Katakan anda menerima RM3 setiap hari atau bersamaan dengan RM60 setiap bulan sebagai elaun belanja sekolah.

Daripada jumlah ini, kete­pikan RM2 atau RM2.50 untuk perbelanjaan di sekolah, manakala selebihnya dima­sukkan ke dalam tabung setiap hari. Jika anda mahu menabung lebih lagi, bawa bekal air dari rumah atau makanan lain seperti roti dan nasi goreng.

Pastikan wang lebihan dimasukkan ke dalam tabung dan anda membuat catatan dalam satu buku nota mengenai jumlah duit belanja yang diterima, duit lebihan yang ditabung dan dikeluarkan daripada tabung berkenaan. Dengan cara ini, anda sentiasa dapat memantau pergerakan wang anda.

Jika sehari anda menabung RM1, anda akan memiliki RM25 pada penghujung bulan (katakan hari persekolahan ialah 25 hari sebulan) dan jika anda menabung RM25 setiap bulan selama 5 bulan, anda akan memiliki RM125 pada penghujung bulan ke-5. Wang ini bolehlah anda laburkan ke dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau untuk membeli bara­ngan yang anda idamkan.

Untuk melabur dalam ASB, serahkan sahaja wang yang telah dikumpul kepada ibu atau bapa anda, dan mereka boleh melaburkannya terus secara online menggunakan portal myASNB.

Jika belum ada akaun, minta ibu bapa anda untuk membuka akaun tersebut di mana-mana cawangan atau ejen ASNB seperti Maybank dan CIMB Bank.

Jika tiada sebarang keperluan untuk membeli barangan, laburkan sahaja semua wang yang anda simpan di dalam tabung itu untuk membolehkan duit yang anda kumpul terus bertambah dengan sendirinya dari tahun ke tahun. Ini kerana apabila anda melabur, wang yang dilaburkan itu akan menerima dividen tahunan dan dividen ini akan menambah kepada duit yang anda laburkan, bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Terma dan Syarat Kuiz Pelaburan PNB